Ahad, 20 Jun 2010

Judi

Dunia dah terbalik. Di satu sisi kita melihat orang Islam mengalu-alukan judi dihalalkan manakala di satu sisi kita melihat orang bukan Islam pula yang meminta supaya judi dihalang. Apa nak jadi dengan orang Islam?

Bukankah sudah terang-terang bukti didepan mata bahawa judi itu mengundang banyak malapetaka berbanding kelebihannya. Ternyata umat Islam sudah kabur penglihatannya akibat melihat hanya pada sisi yang kurang timbangannya. Mengapa harus dihalalkan perbuatan yang memang haram. Umum mengetahui bahawa judi itu haram dan tahu mengapa perbuatan bodoh ini diharamkan. Malangnya, ada umat Islam di negara ini yang berfikiran dangkal dan hanya tunduk dengan pandangan minoriti. Mungkin sekali kurang kemahiran berfikir secara kritis. Hanya kerana seorang yang 'besar' mengeluarkan pendapat supaya judi itu dihalalkan untuk yang bukan Islam, maka yang lain pun mengangguk tanda setuju.

Adakah ini semangat 1 Malaysia yang dicanangkan? Kononnya menghormati pandangan semua pihak tak kira pandangan itu salah ataupun tidak. Sangat menghairankan dan sangat bodoh pemikiran seumpama ini. Bagaimana dengan pandangan majoriti yang lebih utama? Adakah telinga sudah pekak dan tidak dapat mendengar suara yang lebih nyaring? Mungkin sekali suara majoriti juga tidak kedengaran sebab tidak ramai yang bersuara. Bisu agaknya. Di mana alim ulama tersohor negara yang mengaku lulusan al-Azhar dan Universiti Madinah? Di mana? Mungkin tengah seronok melihat aksi Messi ligat membawa bola. Mungkin sekali tengah tidur sebab malam tadi bersengkang mata menyaksikan perlawanan Cameroon menentang Denmark. Di mana suara anda wahai alim ulama? Saya tidak mendengar anda menentang atau membuat kenyataan terbuka supaya judi sial ini terus diharamkan dan jangan diberi muka.

Geram betul.

Selasa, 15 Jun 2010

MV Mavi Marmara dan MV Rachel Corrie

31 Mei 2010. Tarikh keramat buat pejuang kemanusiaan dan seluruh penduduk dunia. Dunia mula membuka mata terhadap kekejaman Israel. Ternyata isu Israel-Palestin bukanlah isu umat Islam malah isu seantero dunia yang melibatkan kemanusiaan.

Dan setiap kali isu Israel timbul dipermukaan media, setiap kali itulah rakyat Malaysia akan membuat tunjuk perasaan besar-besaran. Hakikatnya, bukan itu yang sebenarnya diinginkan oleh rakyat Palestin. Mereka hanya memerlukan umat Islam diseluruh dunia SEDAR. Sedar akan kesusahan dan kesengsaraan yang mereka tanggung sejak tahun 1948. Tanpa kesedaran umat Islam hanya akan tidur semula.

Sejauh mana anda sedar? Sejauh manakah mata anda terbuka besar?

Sedarkah anda berapa banyak bantuan yang ada salurkan kepada rakyat Palestin lebih sedikit berbanding sumbangan anda kepada rakyat Israel?

Paling kecil yang boleh disumbangkan adalah mengirim doa dan solat hajat. Ini mungkin memadai bagi golongan yang kurang berkemampuan yakni orang miskin. Rata-rata orang Islam di Malaysia tidaklah semiskin umat Islam di Sudan mahupun di Afrika Selatan. Jika anda tidak mempunyai apa-apa maka doa dan solat sahajalah senjata yang paling berguna untuk rakyat Palestin

Jika anda dalam kategori kelas pertengahan, sumbangkanlah wang kepada tabung-tabung kemanusiaan terutama sekali yang melibatkan Gaza. Sekarang ini urusan pemindahan wang semudah ABC. Online sahaja terus dapat pindah wang. Saya syorkan anda pergi ke website ini: Islamic Relief Malaysia jika anda ada lebihan rezeki yang boleh disumbangkan. Sumbangan juga boleh dibuat secara online melalui CIMB Click dan Maybank2U. Mudahkan. Jangan jadi orang Islam yang kedekut. Sesungguhnya sedekah tidak akan mengurangkan rezeki malah menambahkannya. Sumbangkanlah sedekah anda, biarpun sedikit asal tidak putus-putus. Buatlah komitmen setiap bulan untuk menyumbangkan dana kepada rakyat Palestin.

Yang keduanya kita boleh memboikot barangan yang menyokong pendudukan haram Israel di atas bumi Palestin. Klik sini untuk melihat senarai barangan yang boleh diboikot. Boikot produk-produk syarikat yang menyokong pendudukan haram Israel. Boikotlah dengan bijak. Kaji dahulu barangan yang hendak diboikot dan bukannya memboikot membuta tuli. Asal produk ala-ala jenama Mat Salleh terus hendak diboikot, maka itu adalah amalan yang bodoh. Boikot tanpa usul perikasa. Boikot hanya mengikut orang semata-mata. Nasihat saya, boikotlah sekurang-kurangnya satu jenama dan tetapkan pendirian anda. Jangan sekali ragu-ragu dan ingatlah jika anda membeli satu barangan yang menyokong Israel maka anda menderma satu butir peluru untuk membunuh seorang kanak-kanak Palestin.


Jika anda adalah golongan yang kaya dan berpengaruh, maka gunakanlah pengaruh dan kekayaan anda untuk melobi pemimpin-pemimpin atasan yang boleh memberi tekanan kepada orang yang lebih atas. Kalau boleh sehingga sampai ke tahap Perdana Menteri. Rakyat mana yang tidak bangga jika perdana menterinya seberani Dr. Ahmadinejad ataupun Recep Tayyip Erdogan yang lantang mengecam Israel. Alhamdulillah, Dato' Najib agak berani. Tapi belum seberani Dr. Ahmadinejad.

Marilah kita sama-sama berjuang membebaskan rakyat Palestin. Tak kira tua, muda, miskin dan kaya. Janganlah kita jadi pejuang bermusim seperti katak dimusim hujan. Bising bila hujan, senyap bila kemarau.

Rabu, 9 Jun 2010

72 peratus penghidap AIDS/HIV umat Islam

KUALA TERENGGANU 9 Jun - Lebih 70 peratus daripada 87,710 penghidap HIV/AIDS di negara ini adalah daripada kalangan umat Islam, kata Naib Presiden Majlis AIDS Malaysia, Datuk Zaman Khan.

(Utusan Malaysia, 09/06/2010 12:19pm)

Lihatlah, betapa teruknya akhlak umat Islam pada masa kini. Ya, mungkin ada antaranya bukan mendapat HIV dari seks rambang mahupun pertukaran jarum suntikan.Tapi angka 70% sudah cukup membuatkan kita tertanya-tanya, teruk sangatkah akhlak umat Islam di Malaysia?

Kita seharusnya berasa malu kerana mengaku Islam adalah agama rasmi negara dalam masa yang sama juga kita juga mengungguli carta maksiat dan dosa. Mana tidaknya, umat Islam di Malaysia ini sudah tidak banyak bezanya dengan bukan Islam. Bukan semua tapi sebahagian besar. Lihatlah siapa yang buang bayi, yang cucuk jarum tanpa permit, jadi mat rempit, jadi peserta AF, mentor dan sebagainya. Umat Islamlah yang paling banyak. Nauzubillahi min zalik. Astaghfirullahil azim.

Ya Allah, tunjukkankanlah kami ke jalan yang benar.

Yang hairannya dengan segala maksiat dan dosa yang menjadi-jadi, sangat kecil suara-suara dari ahli-ahli agama yang berani menyuarakan hal ini. Adakah mereka semua sedang sibuk di perpustakaan menelaah buku-buku agama? Entahlah.

Saat ini kita umat Islam semakin hari semakin lemah. Jika kita tidak sedar sekarang kita akan kembali mengulang sejarah dimana agama Islam mungkin tiada lagi didalam hati kita. Ingat sejarah Andalusia. Pesanan ini khas untuk saya dan semua umat yang mengaku Muslim.

Selasa, 16 Mac 2010

Sistem Khalifah di Malaysia

Apabila melihat kepada adanya perjuangan untuk mengembalikan sistem khalifah Islam di seluruh dunia, jiwa terasa seperti tergoncang umpama dipukul oleh angin kuat. Akan kembalikah sistem khalifah di dunia dimana negara Islam akan diperintah oleh seorang pemerintah. Apa bezanya sistem demokrasi raja berperlembagaan di Malaysia dan sistem khalifah? Persoalan ini perlu difikir dan diselidiki. Dan yang paling penting bagaimana transformasi dapat dilaksanakan?

Menurut saya, sebelum kita dapat mencanangkan sistem khalifah sebagai sistem pemerintahan yang paling ideal buat seluruh umat manusia, kita harus mempunyai asas sistem sosial yang sangat kukuh. Rakyat yang memahami dan menyokong sistem khalifah maka terwujudnya sistem khalifah itu. Sistem itu tidak dapat wujud tanpa ada yang menyokong.

Justeru supaya sistem sosial yang kuat untuk menyokong kita harus melihat pada rakyatnya. Bukan untuk berfikiran negatif tetapi boleh diagak berapa kerat umat Islam diMalaysia yang tahu dan memahami apa itu sistem khalifah. Jika umat Islam sendiri tidak yakin dan tidak sedar akan hakikat ini, maka sudah tentu sistem ini akan menjadi angan-angan sahaja. Justeru harus ada satu usaha untuk menyedar, memaklum dan memberi pelajaran kepada rakyat terutama umat Islam tentang keberkesanan dan kebagusan sistem khalifah.

Yang kedua yang harus difikir adalah penerimaan umat bukan Islam. Jika disebut Islam sahaja sudah tentu biji mata mereka membesar tanda protes. Makanya, disini setelah umat Islam itu sendiri sedar dan dapat menunjukkan contoh pemerintahan yang bagus, maka barulah umat bukan Islam akan merasa teryakin dengan sistem khalifah. Ayat-ayat yang gramatis sahaja tidak cukup untuk menyakinkan seseorang. Yang utamanya, kita, umat Islam dapat menjadi contoh. Itu sudah cukup sebagai bukti yang tidak perlu dibahas lagi.

Maka dengan itu, cabarannya yang paling besar supaya sistem khalifah itu terbukti berkesan dan benar adalah menjadikan umat Islam itu sendiri sebagai contoh yang paling dekat. Jika dilihat, Malaysia tidak begitu jauh daripada sistem khalifah. Cuma pelaksanaan undang-undang Islam sahaja yang kurang.

Tidak perlu kita memilih yang berserban atau berjubah sebagai pemimpin. Cukup yang ahli dalam soal-soal agama dan kepimpinan. Jika ada pemimpin yang menepati kedua-dua ciri ini, maka pelaksanaan Sistem Khalifah akan menjadi lebih tuntas. Kita doakan semoga hari tersebut akan tiba tidak lama lagi. Insya Allah.

Jumaat, 26 Februari 2010

Melayu semakin menjauhi Islam

Ini bukan propaganda. Ini adalah hakikat. Tidak perlu disertakan dengan pautan-pautan ke laman sesawang milik Kementerian atau NGO-NGO tertentu untuk mengesahkan kesahihan kenyataan ini. Ya Melayu saat ini, semakin menjauhi Islam.

Kita lihat sahaja surau-surau dan masjid-masjid. Jangan dilihat semasa solat Jumaat atau solat sunat Aidilfitri dan Aidiladha. Lihat sahaja semasa solat lima waktu. Biasanya dapat dikira dengan jari bilangan makmumnya. Kemana perginya semua laki-laki yang mengaku dirinya Islam. Apakah mereka ini hanya keluar mencari makanan pada hari Jumaat dan Hari Raya sahaja? Itu kalau kita lihat pada surau dan masjid.

Sekarang kita rempuh masuk kedalam kelab-kelab malam dan bar-bar. Cuba teka siapa yang ada didalamnya? Ya, tepat sekali. 10 markah untuk anda. Tidak dapat tidak. Memang sudah tentu ada yang bergelar muslim menjadi penghuni tegar kelab-kelab seumpama itu. Tanpa segan silu arak dan dadah menjadi hidangan utama mereka. Semoga Allah memberi taufik dan hidayah kepada mereka.

Mungkin belum cukup. Sekarang kita kira. Siapakah yang paling banyak jadi penagih dadah? Siapa yang paling banyak melakukan kes rogol?. Siapa yang paling banyak jadi mat rempit? Siapa yang paling banyak buang bayi? Sudah pasti jawapan anda sama.

Persoalannya, bagaimana satu kaum yang mengaku dirinya Islam tapi dalam masa yang sama menjadi raja dalam segala maksiat dan kebejatan yang ada? Adakah Islam mengajar kita menjadi raja kepada segala maksiat? TIDAK sama sekali malah sebaliknya. Jadi apa yang membuatkan Melayu zaman sekarang ini semakin menjauhi Islam?

Yang pertama, kurang didikan agama. Kalau ibubapa yang ilmu agamanya tahap 'Beginner' bagaimana hendak membimbing anak menjadi tahap 'Expert'. Ibu bapa sekarang ini seperti kehilangan tulang dan fungsi saraf. Ibu bapa sekarang ini seperti kanak-kanak autistik yang hanya mampu melihat sahaja anak-anak mereka bertukar menjadi anjing-anjing liar. Menegur pun susah apatah lagi melarang. Kalau beginilah gaya ibu bapa Islam zaman sekarang, maka kehancuranlah yang bakal kita rasakan.

Yang kedua, bila guru yang sepatutnya menjadi contoh terbaik, menjadi contoh yang terburuk. Jika guru tanpa rasa malu dapat mengepus asap-asap rokok ke udara bagaimana pula hendak menegur murid supaya menjauhi rokok. Apabila guru sudah menjadi seperti penjahat bagaimana hendak menunjukkan contoh yang baik pada anak murid.Lain yang diajar lain yang dibuat. Wahai guru-guru sekalian, terutama sekali yang bergelar guru muslim dan ustaz-ustaz, jadikanlah diri anda contoh yang terbaik untuk anak-anak muslim. Kepimpinan melalui teladan bukan melalui percakapan semata-mata.

Yang ketiga, pengamal media yang mata duitan. Media yang hanya mementingkan duit dan meninggalkan elemen spiritual. Apabila duit menjadi taruhan, tanpa berfikir panjang semua hiburan-hiburan dari barat yang difikirkan berpotensi mengaut keuntungan ditayangkan malah ditransformasikan dengan gaya tempatan. Lihat sahaja stesen tv mana yang tidak menayangkan realiti tv yang melahirkan artis-artis bodoh yang beragama Islam. Raja Lawak. Akademi Fantasia. Malaysian Idol. Mentor dan banyak lagi rancangan realiti yang menjahanamkan masa depan budak-budak Islam. Belum lagi dilihat pada drama-drama yang entah apa-apa mesejnya.


Ketiga-tiga punca ini bukanlah faktor utama melainkan kayu-kayu kecil yang menambahkan lagi maraknya api kehancuran pemuda dan pemudi Islam. Orang-orang Melayu harus bangun. BANGUN! sebelum terlambat. Sebelum Islam jauh meninggalkan kita.

Sabtu, 13 Februari 2010

Perlukah Perarakan Maulidur Rasul?

Perlukah kita mengadakan perarakan sempena menyambut kelahiran Nabi Muhammad S.A.W?

Kita harus memuliakan nabi Muhammad S.A.W tapi adakah sampai kita harus mengadakan perbarisan dan mengangkat sepanduk 8x4 kaki yang mana orang yang mengikut perarakan itupun belum tentu membaca apa yang ditulis pada sepanduk tersebut?

Perlukan diadakan pertandingan sepanduk mana yang lebih kreatif dan perbarisan mana yang paling seragam dan lebih berdisiplin?

Tidak cukupkah hanya dengan mengadakan ceramah-ceramah yang mengingatkan kita kembali kepada keperibadian Rasulullah S.A.W?

Apa yang kita dapat dengan berarak keliling kampung selainkan penat dah lelah serta menambahkan dosa kalau niatnya hanya untuk mendapatkan tempat pertama dalam kategori Kontijen Terbaik Maulidur Rasul 2010?

Adakah ada dizaman Rasulullah dimana umat Islam berarak dari point A ke point B untuk menyambut ulang tahun kelahiran Rasulullah S.A.W? Kalau ada dimana point-point itu?

Adakah tujuan perarakan dan perhimpunan untuk menunjukkan kesatuan ummah? Mengapa pula ummah dipecahkan kepada kontigen-kontigen yang berlainan? Adakah itu kesatuan ummah yang sebenarnya yang ingin ditunjukkan?

Adakah 'kesatuan ummah' dapat ditunjukkan? Bukankah kesatuan ummah itu hanya dapat dilihat dalam kehidupan seharian ummah itu sendiri?

Kepada siapa ingin kita tunjukkan? Kepada Allah S.W.T ? Atau kepada orang yang yang lalu-lalang ditepi jalan? Atau kepada umat Islam yang lain? Atau kepada tv3? Atau BBC dan Al-Jazeera?

Kalau bukan untuk menunjukkan kesatuan ummah, untuk apa perarakan seumpama itu? Untuk menambahkan kecintaan kita kepada Rasulullah S.A.W? Setinggi mana kecintaan anda sebelum dan selepas perarakan berlansung?

Bukankah kecintaan kita ditunjukkan dengan mengamalkan sunnah-sunnah Rasulullah S.A.W? Adakah perarakan itu sunnah Rasulullah? Atau hanya sekadar satu keperluan untuk memenuhi aturcara sempena menyambut Maulidur Rasul?

Dimanakah perginya ke sepanduk-sepanduk yang cantik-cantik itu selepas perarakan?
Adakah di dalam stor atau dibakar atau di tong sampah atau ditanam?


Adakah anda pernah terfikir semua soalan-soalan diatas? Atau adakah anda mengikut sahaja apa yang dibuat oleh kebanyakan orang?

Khamis, 11 Februari 2010

Bayi BUKAN Sejenis Bahan Buangan!

1. Buat mereka yang bergelar ibu bapa. Ajar anak anda betul-betul. Jangan biarkan anak-anak anda berpeleseran macam syaitan kehulu-kehilir laki perempuan berdampingan. Perisaikan anak-anak anda dengan ilmu agama yang kuat. Dugaan akhir zaman kian hebat. Ajaran pak ustaz disekolah-sekolah dan dimasjid-masjid tidak akan pernah cukup. Tanggung jawab anda untuk melengkapkan diri dengan ilmu agama dan ilmu rumah tangga.

2. Buat anak-anak muda. Jangan ingat anda muda, anda boleh buat apa saja.  Kesalahan besar adalah dalam timbangan ada. Anda yang memilih untuk membuat maksiat justeru itu anda harus memikulnya. Islam tidak membenarkan seorang pemuda Islam yang bukan muhrim duduk bersama-sama dengan seorang perempuan yang tidak ditemani dengan muhrimnya. 

3. Buat pemerintah, sekatlah segala-gala yang boleh menjerumuskan anak-anak muda ke lembah kehancuran. Sekat pergaulan bebas. Sekat laluan internet ke laman-laman pornografi. Sekat penjualan vcd-vcd cetak rompak. Sekat rancangan-rancangan hiburan yang menghalalkan seks bebas. Sekat majalah-majalah berunsur lucah. Sekat pengeluaran lesen-lesen tempat hiburan. Sekatlah segala-galanya sebelum terlambat.

4. Buat individu-individu yang bergelar umat Islam. Bersihkan fikiran kita. Jauhkan segala fikiran-fikiran yang kotor. Orang Islam kebanyakkannya memang jaguh kalau topiknya berkisar gurauan-gurauan lucah dan seks. Hal-hal dalam kelambu memang menjadi topik utama yang sentiasa panas. Dengan fikiran yang jijik dan kotor itu jangan haraplah dapat melahirkan umat Islam yang cemerlang. Cemerlangnya  memang ada, tapi hanya dalam bidang Lucah-o-logy. Sedarkah budaya kita yang ini jauh lebih teruk dari orang putih di Amerika dan Eropah nun. Setidak-tidaknya orang di Amerika dan Eropah itu memang tidak tahu. Inikan pula kita yang mengaku sebagai umat Islam. Amat memalukan!