Jumaat, 26 Februari 2010

Melayu semakin menjauhi Islam

Ini bukan propaganda. Ini adalah hakikat. Tidak perlu disertakan dengan pautan-pautan ke laman sesawang milik Kementerian atau NGO-NGO tertentu untuk mengesahkan kesahihan kenyataan ini. Ya Melayu saat ini, semakin menjauhi Islam.

Kita lihat sahaja surau-surau dan masjid-masjid. Jangan dilihat semasa solat Jumaat atau solat sunat Aidilfitri dan Aidiladha. Lihat sahaja semasa solat lima waktu. Biasanya dapat dikira dengan jari bilangan makmumnya. Kemana perginya semua laki-laki yang mengaku dirinya Islam. Apakah mereka ini hanya keluar mencari makanan pada hari Jumaat dan Hari Raya sahaja? Itu kalau kita lihat pada surau dan masjid.

Sekarang kita rempuh masuk kedalam kelab-kelab malam dan bar-bar. Cuba teka siapa yang ada didalamnya? Ya, tepat sekali. 10 markah untuk anda. Tidak dapat tidak. Memang sudah tentu ada yang bergelar muslim menjadi penghuni tegar kelab-kelab seumpama itu. Tanpa segan silu arak dan dadah menjadi hidangan utama mereka. Semoga Allah memberi taufik dan hidayah kepada mereka.

Mungkin belum cukup. Sekarang kita kira. Siapakah yang paling banyak jadi penagih dadah? Siapa yang paling banyak melakukan kes rogol?. Siapa yang paling banyak jadi mat rempit? Siapa yang paling banyak buang bayi? Sudah pasti jawapan anda sama.

Persoalannya, bagaimana satu kaum yang mengaku dirinya Islam tapi dalam masa yang sama menjadi raja dalam segala maksiat dan kebejatan yang ada? Adakah Islam mengajar kita menjadi raja kepada segala maksiat? TIDAK sama sekali malah sebaliknya. Jadi apa yang membuatkan Melayu zaman sekarang ini semakin menjauhi Islam?

Yang pertama, kurang didikan agama. Kalau ibubapa yang ilmu agamanya tahap 'Beginner' bagaimana hendak membimbing anak menjadi tahap 'Expert'. Ibu bapa sekarang ini seperti kehilangan tulang dan fungsi saraf. Ibu bapa sekarang ini seperti kanak-kanak autistik yang hanya mampu melihat sahaja anak-anak mereka bertukar menjadi anjing-anjing liar. Menegur pun susah apatah lagi melarang. Kalau beginilah gaya ibu bapa Islam zaman sekarang, maka kehancuranlah yang bakal kita rasakan.

Yang kedua, bila guru yang sepatutnya menjadi contoh terbaik, menjadi contoh yang terburuk. Jika guru tanpa rasa malu dapat mengepus asap-asap rokok ke udara bagaimana pula hendak menegur murid supaya menjauhi rokok. Apabila guru sudah menjadi seperti penjahat bagaimana hendak menunjukkan contoh yang baik pada anak murid.Lain yang diajar lain yang dibuat. Wahai guru-guru sekalian, terutama sekali yang bergelar guru muslim dan ustaz-ustaz, jadikanlah diri anda contoh yang terbaik untuk anak-anak muslim. Kepimpinan melalui teladan bukan melalui percakapan semata-mata.

Yang ketiga, pengamal media yang mata duitan. Media yang hanya mementingkan duit dan meninggalkan elemen spiritual. Apabila duit menjadi taruhan, tanpa berfikir panjang semua hiburan-hiburan dari barat yang difikirkan berpotensi mengaut keuntungan ditayangkan malah ditransformasikan dengan gaya tempatan. Lihat sahaja stesen tv mana yang tidak menayangkan realiti tv yang melahirkan artis-artis bodoh yang beragama Islam. Raja Lawak. Akademi Fantasia. Malaysian Idol. Mentor dan banyak lagi rancangan realiti yang menjahanamkan masa depan budak-budak Islam. Belum lagi dilihat pada drama-drama yang entah apa-apa mesejnya.


Ketiga-tiga punca ini bukanlah faktor utama melainkan kayu-kayu kecil yang menambahkan lagi maraknya api kehancuran pemuda dan pemudi Islam. Orang-orang Melayu harus bangun. BANGUN! sebelum terlambat. Sebelum Islam jauh meninggalkan kita.

Sabtu, 13 Februari 2010

Perlukah Perarakan Maulidur Rasul?

Perlukah kita mengadakan perarakan sempena menyambut kelahiran Nabi Muhammad S.A.W?

Kita harus memuliakan nabi Muhammad S.A.W tapi adakah sampai kita harus mengadakan perbarisan dan mengangkat sepanduk 8x4 kaki yang mana orang yang mengikut perarakan itupun belum tentu membaca apa yang ditulis pada sepanduk tersebut?

Perlukan diadakan pertandingan sepanduk mana yang lebih kreatif dan perbarisan mana yang paling seragam dan lebih berdisiplin?

Tidak cukupkah hanya dengan mengadakan ceramah-ceramah yang mengingatkan kita kembali kepada keperibadian Rasulullah S.A.W?

Apa yang kita dapat dengan berarak keliling kampung selainkan penat dah lelah serta menambahkan dosa kalau niatnya hanya untuk mendapatkan tempat pertama dalam kategori Kontijen Terbaik Maulidur Rasul 2010?

Adakah ada dizaman Rasulullah dimana umat Islam berarak dari point A ke point B untuk menyambut ulang tahun kelahiran Rasulullah S.A.W? Kalau ada dimana point-point itu?

Adakah tujuan perarakan dan perhimpunan untuk menunjukkan kesatuan ummah? Mengapa pula ummah dipecahkan kepada kontigen-kontigen yang berlainan? Adakah itu kesatuan ummah yang sebenarnya yang ingin ditunjukkan?

Adakah 'kesatuan ummah' dapat ditunjukkan? Bukankah kesatuan ummah itu hanya dapat dilihat dalam kehidupan seharian ummah itu sendiri?

Kepada siapa ingin kita tunjukkan? Kepada Allah S.W.T ? Atau kepada orang yang yang lalu-lalang ditepi jalan? Atau kepada umat Islam yang lain? Atau kepada tv3? Atau BBC dan Al-Jazeera?

Kalau bukan untuk menunjukkan kesatuan ummah, untuk apa perarakan seumpama itu? Untuk menambahkan kecintaan kita kepada Rasulullah S.A.W? Setinggi mana kecintaan anda sebelum dan selepas perarakan berlansung?

Bukankah kecintaan kita ditunjukkan dengan mengamalkan sunnah-sunnah Rasulullah S.A.W? Adakah perarakan itu sunnah Rasulullah? Atau hanya sekadar satu keperluan untuk memenuhi aturcara sempena menyambut Maulidur Rasul?

Dimanakah perginya ke sepanduk-sepanduk yang cantik-cantik itu selepas perarakan?
Adakah di dalam stor atau dibakar atau di tong sampah atau ditanam?


Adakah anda pernah terfikir semua soalan-soalan diatas? Atau adakah anda mengikut sahaja apa yang dibuat oleh kebanyakan orang?

Khamis, 11 Februari 2010

Bayi BUKAN Sejenis Bahan Buangan!

1. Buat mereka yang bergelar ibu bapa. Ajar anak anda betul-betul. Jangan biarkan anak-anak anda berpeleseran macam syaitan kehulu-kehilir laki perempuan berdampingan. Perisaikan anak-anak anda dengan ilmu agama yang kuat. Dugaan akhir zaman kian hebat. Ajaran pak ustaz disekolah-sekolah dan dimasjid-masjid tidak akan pernah cukup. Tanggung jawab anda untuk melengkapkan diri dengan ilmu agama dan ilmu rumah tangga.

2. Buat anak-anak muda. Jangan ingat anda muda, anda boleh buat apa saja.  Kesalahan besar adalah dalam timbangan ada. Anda yang memilih untuk membuat maksiat justeru itu anda harus memikulnya. Islam tidak membenarkan seorang pemuda Islam yang bukan muhrim duduk bersama-sama dengan seorang perempuan yang tidak ditemani dengan muhrimnya. 

3. Buat pemerintah, sekatlah segala-gala yang boleh menjerumuskan anak-anak muda ke lembah kehancuran. Sekat pergaulan bebas. Sekat laluan internet ke laman-laman pornografi. Sekat penjualan vcd-vcd cetak rompak. Sekat rancangan-rancangan hiburan yang menghalalkan seks bebas. Sekat majalah-majalah berunsur lucah. Sekat pengeluaran lesen-lesen tempat hiburan. Sekatlah segala-galanya sebelum terlambat.

4. Buat individu-individu yang bergelar umat Islam. Bersihkan fikiran kita. Jauhkan segala fikiran-fikiran yang kotor. Orang Islam kebanyakkannya memang jaguh kalau topiknya berkisar gurauan-gurauan lucah dan seks. Hal-hal dalam kelambu memang menjadi topik utama yang sentiasa panas. Dengan fikiran yang jijik dan kotor itu jangan haraplah dapat melahirkan umat Islam yang cemerlang. Cemerlangnya  memang ada, tapi hanya dalam bidang Lucah-o-logy. Sedarkah budaya kita yang ini jauh lebih teruk dari orang putih di Amerika dan Eropah nun. Setidak-tidaknya orang di Amerika dan Eropah itu memang tidak tahu. Inikan pula kita yang mengaku sebagai umat Islam. Amat memalukan!

Sejarah Berulang Kembali

(Foto diambil dari Utusan Malaysia, 11 Januari 2010)

Jika anda melihat gambar ini tanpa merasakan apa-apa, maka sesungguhnya anda harus merasa hairan dan tanyalah diri anda mengapa. 

Jawapannya, mungkin kerana kita sudah dilazimkan dengan foto-foto seperti ini. Otak kita mentafsir bahawa foto-foto 'jenis' ini sudah biasa kita lihat. Tidak ada yang 'istimewa' yang perlu diamati. Justeru itu, benak kita seolah-olah tidak berupaya mengeluarkan emosi yang boleh mengungkap betapa kejamnya manusia yang membuat angkara sedurjana ini.

Sedar atau tidak, kes buang bayi seolah-olah sudah menjadi budaya orang-orang di Malaysia. Dan yang paling menyedihkan, perbuatan ini dilakukan oleh saudara-saudara seagama kita sindiri. Mengapa tidak? Takkanlah orang yang beragama Hindu atau Kristian mahu membuang bayi di depan pintu masjid? 

Jika kita hanya pandai mengucapkan 'astaghfirullahalazim' dan hanya pandai mengeleng-geleng kepala sahaja, maka suatu saat nanti kita sebagai umat Islam di Malaysia harus bersedia menerima azab Allah S.W.T. Pada saat azab sudah tiba di pintu hadapan rumah, maka terlambatlah segala-galanya dan pada saat itu barulah kita mahu berfikir kembali apa salah kita hingga kita ditimpa azab sedemikian rupa.

Jika pak ustaz dan tok-tok Imam boleh bising hanya kerana isu kalimah Allah tapi diam seperti orang sakit gigi bila melihat gambar seperti ini maka sudah tentu ada yang tidak kena. Kenapa kita tidak protes di jalanan, mencari angkara siapa perbuatan terkutuk ini? Mengapa tidak dicari apa sebenarnya punca hingga kejadian seumpama ini berulang lagi seolah-olah cerita drama swasta yang ditayangkan semula atas permintaan penonton fanatik? Mengapa?

Jawapannya memang sudah jelas. Kita dengan nada santai menjawab bahawa isu ini biasa sahaja. Esok-esok ada lagi. Buat macam mana sekalipun tak akan berubah. Dunia akhir zaman katakan... Macam-macam boleh berlaku. Na'uzubillah min zalik.

Ahad, 7 Februari 2010

Ketagihan

KUANTAN 7 Feb. – Seramai 26 pengunjung pusat hiburan termasuk dua wanita ditahan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dalam Ops Taubat awal pagi tadi.
Ketua Penguat Kuasa Agama JAIP, Ahmad Raffli Ab. Malek berkata, kesemua yang ditahan berumur dalam lingkungan 20 hingga 55 tahun, iaitu 15 ditahan kerana kesalahan meminum arak, manakala 11 lagi kesalahan khalwat.
(Petikan dari Utusan Malaysia, 07 Februari 2010)

Sampai bilalah umat Islam di Malaysia dapat setanding dengan negara-negara maju kalau beginilah perangai saudara seagama kita. Nak dikatakan tak cukup didikan agama, tak boleh juga sebab dah berbuih mulut ustaz dan ustazah memberikan nasihat di sekolah-sekolah.

Adakah ibu bapa yang jadi penyebab utama? Mustahil. Umur dah 20 tahun. Dak besar panjang takkanlah tak pandai akal sendiri? Apatah lagi yang dah 55 tahun. Rumah kata pergi, kubur kata mari. Takkanlah tak sedar-sedar adik, abang, kakak oii.
Kita hidup di dunia hanya sementara. Esok lusa tak tahu kemana. Entah-entah dah ada 7 kaki dibawah tanah.

Arak bukanlah jawapan kepada masalah hidup. Keseronokkan yang dirasa hanya bersifat sementara. Bila dah hilang rasa 'hang', masalah akan datang kembali. Persoalan yang sebenar disini bukanlah arak, tapi ketagihan.

Setiap manusia dicipta dengan kelemahan masing-masing. Ada yang ketagihan arak, ada yang ketagihan rokok, ada yang ketagihan seks, ada yang ketagihan judi, ada yang ketagihan pornografi, ada yang ketagihan duit, ada yang ketagihan shopping, ada yang ketagihan ingin tampil cantik dan hensem, ada yang ketagihan kuasa dan jawatan dan bermacam-macam ketagihan lagi.

Setiap ketagihan itu membawa kepada keseronokan. Ini ajaran nafsu. Menurut kata nafsu, hidup ini hanya sekali. Maka berseronoklah sepuas-puasnya. Hakikatnya, keseronokan itulah kesengsaraan. Kesengsaraan yang membawa kepada kebinasaan.

Jika umat Islam di Malaysia ini masih lagi tidak sedar akan hakikat ini. Maka, simpanlah angan-angan anda untuk melihat Malaysia sebagai negara Islam yang maju. Mungkin kita boleh berbangga dengan bangunan-bangunan yang tinggi-tinggi. Litar bertaraf dunia. Tapi itu kemajuan menurut kamus dunia. Kemajuan yang sebenarnya adalah kemajuan akal fikiran.