Khamis, 11 Februari 2010

Sejarah Berulang Kembali

(Foto diambil dari Utusan Malaysia, 11 Januari 2010)

Jika anda melihat gambar ini tanpa merasakan apa-apa, maka sesungguhnya anda harus merasa hairan dan tanyalah diri anda mengapa. 

Jawapannya, mungkin kerana kita sudah dilazimkan dengan foto-foto seperti ini. Otak kita mentafsir bahawa foto-foto 'jenis' ini sudah biasa kita lihat. Tidak ada yang 'istimewa' yang perlu diamati. Justeru itu, benak kita seolah-olah tidak berupaya mengeluarkan emosi yang boleh mengungkap betapa kejamnya manusia yang membuat angkara sedurjana ini.

Sedar atau tidak, kes buang bayi seolah-olah sudah menjadi budaya orang-orang di Malaysia. Dan yang paling menyedihkan, perbuatan ini dilakukan oleh saudara-saudara seagama kita sindiri. Mengapa tidak? Takkanlah orang yang beragama Hindu atau Kristian mahu membuang bayi di depan pintu masjid? 

Jika kita hanya pandai mengucapkan 'astaghfirullahalazim' dan hanya pandai mengeleng-geleng kepala sahaja, maka suatu saat nanti kita sebagai umat Islam di Malaysia harus bersedia menerima azab Allah S.W.T. Pada saat azab sudah tiba di pintu hadapan rumah, maka terlambatlah segala-galanya dan pada saat itu barulah kita mahu berfikir kembali apa salah kita hingga kita ditimpa azab sedemikian rupa.

Jika pak ustaz dan tok-tok Imam boleh bising hanya kerana isu kalimah Allah tapi diam seperti orang sakit gigi bila melihat gambar seperti ini maka sudah tentu ada yang tidak kena. Kenapa kita tidak protes di jalanan, mencari angkara siapa perbuatan terkutuk ini? Mengapa tidak dicari apa sebenarnya punca hingga kejadian seumpama ini berulang lagi seolah-olah cerita drama swasta yang ditayangkan semula atas permintaan penonton fanatik? Mengapa?

Jawapannya memang sudah jelas. Kita dengan nada santai menjawab bahawa isu ini biasa sahaja. Esok-esok ada lagi. Buat macam mana sekalipun tak akan berubah. Dunia akhir zaman katakan... Macam-macam boleh berlaku. Na'uzubillah min zalik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan